AMAT yang dikhuatiri hilang di perairan Tanjung Hantu. FOTO Ihsan Keluarga
AMAT yang dikhuatiri hilang di perairan Tanjung Hantu. FOTO Ihsan Keluarga
Noor Hidayah Tanzizi


Pangkor: "Sudah tiga hari ayah hilang di laut dan kami berharap dia segera ditemukan. Kami reda dengan kejadian ini," kata Abdul Hami, 39, anak kepada Amat Beramsah.

Amat, 80, dikhuatiri hilang di perairan Tanjung Hantu dekat sini, pada kedudukan 1.3 batu nautika barat daya Tanjung Hantu, Lumut, kelmarin.

Abdul Hami berkata, kali terakhir dia berjumpa bapanya pada petang Rabu lalu ketika menghantar bekalan minyak untuk kegunaan warga emas itu ke laut pada hari kejadian.

"Ayah sihat dan masa jumpa dia tak menunjukkan perubahan, biasa saja.

"Dia sempat memberikan duit minyak dan saya ada tanya dia mahu makan apa tetapi dia cakap tidak mahu. Itu kali terakhir saya lihat ayah," katanya sayu ketika dihubungi, hari ini.

Dia berkata, biasanya bapanya ke laut bersama abang keduanya, Shaari, 40-an, namun sejak beberapa hari lalu abangnya itu mempunyai kerja lain menyebabkan bapanya ke laut seorang diri.

Katanya, dia yang juga nelayan tidak mengikut bapanya kerana dia menangkul ketam di lokasi lain, manakala bapanya pula menangkap ikan.

"Ayah ke laut lebih awal pada 7 pagi, saya pula 8 pagi dan selalunya saya akan nampak ayah di jeti kerana jeti bot bersebelahan saja.

"Kalau ke laut, ayah pergi berkelompok dengan beberapa bot lain dan mereka akan tangkap ikan di kawasan (perairan) berhampiran.

"Selepas saya balik (pada hari kejadian), kakak menghubungi saya dan beritahu kejadian menimpa ayah, katanya ada orang jumpa sampan ayah tetapi orangnya (ayah) tiada.

"Saya terkejut dan terus terduduk di tepi jeti. Kami risaukan keadaan ayah dan saya bersama abang segera ke lokasi mencari ayah," katanya sambil memberitahu Amat sepatutnya mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19, semalam.

Abdul Hami berkata, ibunya meninggal dunia 11 tahun lalu dan bapanya sebelum ini tinggal bersama kakaknya di Sungai Pinang Besar, di sini, sebelum berpindah ke rumah yang dibina di tepi jeti untuk memudahkannya ke laut serta membuat pukat.

"Ayah tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma beberapa minggu sebelum kejadian dia akan ke laut setiap hari kecuali Jumaat. Ayah sudah menjadi nelayan sejak lebih 60 tahun lalu.

"Dia masih mahu ke laut walaupun kami sudah menyuruhnya duduk di rumah saja.

"Ayah pernah cakap laut sudah sebati dengan dirinya dan dia akan berhati-hati," katanya memberitahu Amat mempunyai enam anak yang semuanya tinggal di Pulau Pangkor.

Abdul Hami mengakui, perasaannya hiba ketika membawa pulang sampan dan barangan milik bapanya tanpa orang tua kesayangannya itu yang disifatkan seorang yang rajin serta disenangi penduduk kampung.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, mangsa masih belum ditemui setakat 2 petang ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dibahagikan kepada tiga sektor merangkumi keluasan 147.98 batu nautika persegi.

"SAR giat dilakukan memasuki hari ketiga yang membabitkan aset APMM, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selain bantuan daripada bot nelayan setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 2:57 PM