Rosli Ilham


Dungun: "Mati kita ni, apa pun kita kena reda dengan Allah," kata tekong bot Wan Mustapha Ayub kepada dua awak-awaknya sebelum mereka terpisah di tengah laut.

Dalam kejadian pada 2 pagi 5 April lalu, Wan Mustapha, 63, dari Kuantan, Pahang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam pada kedudukan 30 batu nautika dari Kuala Dungun dekat perairan Pulau Kapas.

Bagaimanapun, dua awak-awaknya iaitu Rosmadi Rahim, 48, dan Anuar Mohammed Nor, 57, ditemukan selamat.

Rosmadi dari Kampung Seberang Pintasan, di sini, berkata mereka bertiga keluar ke laut menangkap ikan pada 4 April lalu dengan bot pukat tunda milik Wan Mustapha.

Menurutnya, pada keesokkannya mereka melabuhkan bot untuk tidur selepas selesai menangkap ikan pada malam itu.

"Belum sempat kami pejamkan mata, ribut mula membadai dan kali ini sangat pelik apabila ribut barat dan ribut timur bertembung menyebabkan bot kami terumbang-ambing sebelum dimasuki air," katanya.

Katanya, ketika itu, hujan lebat dan Wan Mustapha yang dipanggil ayah mula menyedari kebocoran bot sebelum mengarahkan mereka menimba air dengan pantas.

"Semakin ditimba keluar, air semakin banyak masuk ke dalam bot dan ayah mengambil keputusan untuk mengerakkan bot untuk meminta bantuan .

"Ketika itu kami ternampak ada sebuah bot kira-kira satu batu nautika dan dalam keadaan bot yang dipenuhi air serta berombak besar, ayah berusaha mengemudikan bot selaju mungkin," katanya.

Katanya, bot mereka mula dipenuhi air dan semakin tenggelam tanpa sempat sampai ke bot berkenaan.

"Ayah meminta kami bersedia dan terjun ke laut selepas mengenakan jaket keselamatan dengan pelampung pukat sebesar bola sepak.

"Sepanjang dihanyutkan, kami bertiga tidak berpisah jauh. Ayah yang tidak pandai berenang sentiasa diawasi Anuar supaya tidak terlepas jauh," katanya.

Katanya, ayah mengatakan sangat letih dan tidak larat, namun dia memintanya supaya terus berdoa dan berharap mereka ditemui dengan segera.

"Ayah minta kami reda dengan apa yang berlaku dan meminta bersedia jika nyawa kami tidak panjang. Ayah tidak putus-putus mengucap dan menyebut nama Allah sebelum kami terlelap.

"Sebaik terjaga, saya dan Anuar mendapati ayah sudah hilang dan tiada sahutan selepas puas memanggil namanya. Kami rasa sangat sedih dengan kehilangan ayah," katanya.

Katanya, mereka berdua kemudian dihanyutkan ke perairan Pulau Tenggol dan sehingga ke perairan Kerteh.

"Sepanjang hanyut kami tidak jumpa sebarang bot dan ketika itu hanya teringat anak dan isteri sambil berdoa Allah selamatkan kami.

"Nasib kami baik, sebuah bot pukat tunda melihat kelibat kami di dalam laut kira-kira 11 malam pada hari sama (Selasa lalu) sebelum diselamatkan," katanya.

Katanya, mereka diberi makan dan minum sebelum dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 6:55 PM
Rosmadi Rahim (kanan) menceritakan kejadian bot karam sebelum diselamatkan kepada rakanya, Nor Azman Mohd Nor. FOTO FOTO STR ROSLI ILHAM.
Rosmadi Rahim (kanan) menceritakan kejadian bot karam sebelum diselamatkan kepada rakanya, Nor Azman Mohd Nor. FOTO FOTO STR ROSLI ILHAM.