Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Aktivis masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah menafikan dia menerima 'tajaan' untuk bertanding di Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Abdul Rani, 67, dia tidak mendapat tajaan mana-mana pihak tetapi mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu menajanya.

"Ayah mahu bertanding dan mahu menang, bukan suka-suka masuk bertanding atau ada terima sponsor (tajaan) mana-mana pihak samada syarikat atau orang perseorangan.

"Saya bekas tentera yang sudah bersara sejak lebih 20 tahun lalu. Berilah ayah peluang untuk menang dan dapat berkhidmat membantu masyarakat terutama warga tentera atau bekas tentera di kawasan yang terkenal sebagai Bandar Tentera Darat," katanya yang menggelarkan dirinya 'ayah' setiap kali berbual.

Menurutnya, sebelum ini, dia bercadang bertanding atas nama parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN) tetapi parti itu belum mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Katanya, dia menggunakan logo 'pen' kerana pen adalah benda penting yang sering dibawanya setiap kali dia keluar rumah.

"Semua orang tahu identiti ayah, beret, tongkat dan pen. Tiga benda ini amat penting bagi ayah dan juga kerana mata pena lebih tajam dari mata pedang.

"Lagi satu sejak dahulu lagi ayah suka bantu orang dan kini ayah perlu berada di Parlimen supaya lebih mudah membawa isu rakyat tanpa perlu menggunakan orang lain," ujarnya.

Abdul Rani berkata, sejak dahulu lagi, dia selesa bergerak dan aktif, malah tidak menafikan agak 'popular' di media sosial.

"Ayah jarang sakit, kalau rasa tak sihat pun sekejap sahaja, mungkin kerana selalu bantu orang, kesihatan badan jarang terjejas," katanya.

Abdul Rani berdepan saingan sengit daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH); Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha (Perikatan Nasional); pelakon dan pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri (Gerakan Tanah Air) dan P Kalamanathan (Barisan Nasional)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 10:52 AM
Calon Bebas Parlimen Port Dickson, Abdul Rani Kulup Abdullah (tengah) menunjukkan logo pen sebagai simbol atas kertas undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). FOTO AZRUL EDHAM
Calon Bebas Parlimen Port Dickson, Abdul Rani Kulup Abdullah (tengah) menunjukkan logo pen sebagai simbol atas kertas undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). FOTO AZRUL EDHAM