TUAN  Romzi ketika mencari ayahnya di laut. FOTO Ihsan Tuan Romzi
TUAN Romzi ketika mencari ayahnya di laut. FOTO Ihsan Tuan Romzi
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Tuan Romzi Tuan Razali, 51, nekad meredah lautan siang dan malam untuk mencari bapa, yang hilang selepas terjatuh daripada bot ketika pulang mencandat sotong bersama dua rakan, pagi Isnin lalu.

Kehilangan Tuan Razali Wok, 74, itu disedari dua rakannya sebaik bot menghampiri Jeti Pelabuhan Chenderng, jam 5.30 pagi dan kali terakhir rakan mendakwa melihat mangsa di atas bot pada jarak empat kilometer daripada jeti berkenaan.

Tuan Romzi yang juga anak lelaki tunggal dalam keluarga berkenaan berkata, sebagai anak dia harus menguatkan semangat walaupun sedih ayah tersayang belum ditemui

"Walaupun bersendirian saya tetap akan turun ke laut mencari ayah tanpa mengira siang dan malam.

"Saya satu-satunya anak lelaki dalam keluarga dan sudah menjadi tanggung jawab saya. Saya tidak akan jemu mencari ayah selagi dia tidak ditemui," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Tuan Romzi berkata, apa yang berlaku adalah ujian Allah kepada mereka sekeluarga.

"Jika dinilai, pengorbanan saya ini masih tidak cukup untuk membalas pengorbanan besar ayah yang sudah berpuluh tahun meredah lautan bagi membesarkan kami adik beradik," katanya.

Dia yang berada di laut ketika dihubungi melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada anggota penyelamat, penduduk serta rakan nelayan yang tidak jemu-jemu turun ke laut membantu mencari bapanya.

Katanya, keluarga juga turut melakukan solat hajat, bacaan Yassin dan doa yang tidak putus memohon agar bapa segera ditemui.

Sementara itu, anak bongsu mangsa, Tuan Nurul Hidayah, 37, berkata, dia menghargai pengorbanan abangnya yang tidak mengenal erti penat lelah mencari bapa di laut.

"Saya tahu dia letih. Siang malam dia turun ke laut mencari ayah. Kami hargai pengorbanan abang dan kami adik beradik sentiasa mendoakan keselamatan abang sepanjang berada di laut mencari ayah," katanya.

Tuan Nurul Hidayah yang berkampung bersama keluarga di jeti berkenaan berharap bapanya segera ditemui.

"Apa keadaan sekalipun kami mahu melihat ayah dan berharap ayah ditemui segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 4:33 PM