Zatul Iffah Zolkiply

Jerteh: Jika sebelum ini, majoriti penduduk di Pulau Perhentian, di sini, bergantung kepada sektor pelancongan sebagai sumber utama pendapatan mereka.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu mengubah kehidupan mereka apabila terpaksa kembali kepada aktiviti pertanian dan perikanan yang ditinggalkan sejak 40 tahun lalu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Pemandu bot, Nik Zamri Ismail, 52, berkata aktiviti pertanian dan perikanan pernah menjadi pekerjaan utama penduduk di pulau berkenaan pada 1960-an sebelum mereka beralih ke sektor pelancongan yang menjadi sumber ekonomi baharu.

"Sebelum ini, penduduk di sini kebanyakan mengusahakan tanaman seperti durian, pisang, mangga, lada hitam dan cengkih selain menjadi nelayan, tetapi lama kelamaan penduduk mula menceburi sektor pelancongan bermula 1980-an.

"Namun, penutupan sektor pelancongan ketika ini akibat pandemik menyebabkan penduduk kembali mengusahakan kebun dan menangkap ikan untuk menyara kehidupan.

"Ketika PKP (perintah kawalan pergerakan) tahun lalu, kami masih boleh bernafas kerana sektor pelancongan dibuka at beberapa bulan sebelum kedatangan tengkujuh namun kali ini, kami terpaksa mencari alternatif lain untuk menyara kehidupan memandangkan simpanan yang ada juga semakin berkurangan," katanya.

Penduduk kampung membersihkan kebun mereka. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Penduduk kampung membersihkan kebun mereka. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Bagi Nik Faiza Mat Seman, 49, pula aktiviti pertanian menjadi nadi utama penduduk Pulau Perhentian kira-kira 40 tahun lalu.

"Apabila sektor pelancongan ditutup memang kami hilang sumber rezeki dan terpaksa kembali mengusahakan kebun tinggalan nenek moyang atau menangkap ikan.

"Jika diikutkan hasil yang diperoleh juga sekadar cukup untuk keluarga dan jika ada hasil lebih, ia akan dijual kepada penduduk setempat.

"Mujurlah ada bantuan barangan keperlua harian daripada pihak berkenaan, sekurang-kurangnya ia membantu meringankan beban kami," katanya.

Bagi Efi Nazrin Yuseri, 26, yang bekerja sebagai pemandu bot, sebelum ini dia mampu menjana pendapatan antara RM800 hingga RM900 pada Mac hingga Oktober tahun lalu memandangkan ketika itu pulau peranginan menjadi tumpuan pelancong.

"Biasanya dalam tempoh itu memang sibuk bawa pelancong tetapi apabila PKP, sumber pendapatan memang tiada. Disebabkan tiada apa-apa aktiviti, saya datang bantu ayah di kebun dan sekurang-kurangnya hasil boleh dijual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 2:59 PM