Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Penduduk Kampung Baru Pulau Redang, di sini, menerima kejutan apabila melihat kehadiran pasukan polis yang turun padang bagi menghulur bantuan sempena Op Bantu, semalam.

Selain membawa bakul makanan mengandungi barang keperluan harian, pihak polis turut membawa gula-gula dan makanan ringan untuk diberi kepada kanak-kanak di kampung sama.

Terdahulu, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa bersama rombongannya menyampaikan sebanyak 40 bakul makanan kepada penduduk hasil kutipan elaun Covid-19 pegawai dan anggota Kontinjen Terengganu serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Penduduk, Mek Teh Deraman, 68, melahirkan rasa bersyukur apabila menjadi salah seorang penerima bantuan dalam program Op Bantu itu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa ketika menyampaikan bakul makanan kepada penduduk di Pulau Redang. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa ketika menyampaikan bakul makanan kepada penduduk di Pulau Redang. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

"Saya tidak tahu pun polis mahu datang sampaikan barang, cuma ada orang telefon minta saya bersiap. Tidak lama selepas itu, ada orang bagi salam dan maklumkan mereka polis.

"Memang terkejut dan rasa takut sebab bimbang ada apa-apa masalah, namun tak sangka mereka datang untuk beri bantuan," katanya.

Bagi Hasmah Yacob, 55, pula dia berterima kasih kepada polis yang sanggup meredah lautan untuk menghantar bakul makanan itu kepada mereka.

"Sekarang ini susah mahu cari kerja dan pendapatan terjejas kerana penularan Covid-19.

"Apabila ada pihak beri bantuan sebegini memang lega sebab kami tidak perlu ke bandar untuk membeli barangan keperluan harian.

"Sekurang-kurangnya kami boleh berjimat dan guna wang yang ada untuk keperluan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 5:18 PM