Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Golongan muda yang menggunakan katil klinikal di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan semakin meningkat sejak dua bulan lalu.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, kemasukan golongan berusia 40 tahun ke bawah dilihat meningkat lebih 50 peratus.

Katanya, penggunaan 70 katil klinikal di dua PKRC iaitu di Gelanggang Seni dan Tanjung Chat ini dipenuhi oleh golongan muda.

"Kita lihat trend kemasukan pesakit golongan muda bagi kategori tiga dan empat meningkat. Mereka ini memerlukan katil klinikal untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

"Berbanding sebelum ini, kita dapati katil klinikal dipenuhi oleh golongan warga emas berusia melebihi 50 tahun ke atas.

"Namun, sejak dua bulan lalu golongan warga emas ini semakin kurang menggunakan katil klinikal di PKRC di negeri ini iaitu di bawah kadar 50 peratus berikutan keberkesanan vaksin Covid-19 terhadap mereka," katanya.

DR Mohd Zurairie memeriksa peralatan kenderaan ambulans untuk pengangkutan pesakit Covid-19 ketika tinjauan di Unit Pengangkutan Covid-19 di perkarangan St John dan Persatuan Bulan Sabit Merah di Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Mohd Zurairie memeriksa peralatan kenderaan ambulans untuk pengangkutan pesakit Covid-19 ketika tinjauan di Unit Pengangkutan Covid-19 di perkarangan St John dan Persatuan Bulan Sabit Merah di Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Unit Pengangkutan Covid-19 di Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Mohd Zurairie berkata, majoriti warga emas di negeri ini sudah divaksin, jadi mereka kurang terdedah kepada jangkitan Covid-19 terutama bagi kategori tiga dan empat.

Pada perkembangan yang lain beliau berkata, pengangkutan bagi pesakit Covid-19 di negeri ini tidak mencukupi susulan peningkatan kes setiap hari.

"Namun, kita bersyukur kerana mendapat bantuan daripada pihak kerajaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) dan ambulans swasta termasuk dari St John, Persatuan Bulan Sabit Merah serta pacuan empat roda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 12:48 PM