Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Hanya 182 katil yang masih kosong di lima Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kelantan berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

PKRC berkenaan adalah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Dewan Jubli Perak, Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor dan Panji.

Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob berkata, kekosongan itu tidak termasuk dengan satu lagi PKRC yang akan beroperasi iaitu Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, PKRC USM yang boleh memuatkan hampir 500 pesakit dijangka boleh beroperasi esok sekiranya tidak berdepan sebarang masalah.

"Di Kelantan kita mula membuka PKRC pada 1 Januari tahun ini dan sehingga kini lima PKRC sudah beroperasi.

"Disebabkan peningkatan kes yang tinggi, penggunaan katil di lima PKRC mencecah 61 peratus hingga 100 peratus.

"Sehingga jam 6 pagi tadi, hanya 182 katil masih kosong di lima PKRC dengan ada katil sudah ditempah untuk kemasukan pesakit yang positif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat berkaitan PKRC ketika kunjungan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di PKRC SMK Salor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin.

Dr Mohd Azman berkata, kebanyakan PKRC sedia ada sudah ditambah jumlah katil, berbanding ketika di awal operasi.

 Peralatan katil bagi persiapan PKRC Kota Bharu ke-6, dalam peringkat penyediaan di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian dengan kapasiti maksima 250 katil 'double decker', mampu menempatkan 500 pesakit pada satu-satu masa. PKRC Kampus Kesihatan USM dijangka akan beroperasi pada 3 Mei ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Peralatan katil bagi persiapan PKRC Kota Bharu ke-6, dalam peringkat penyediaan di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian dengan kapasiti maksima 250 katil 'double decker', mampu menempatkan 500 pesakit pada satu-satu masa. PKRC Kampus Kesihatan USM dijangka akan beroperasi pada 3 Mei ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Dengan pembukaan PKRC di USM, ia sedikit sebanyak dapat menampung jumlah pesakit memandangkan ia adalah PKRC terbesar setakat ini," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Azman berkata, operasi di PKRC di Kelantan berjalan lancar tanpa ada sebarang kejadian melarikan diri membabitkan pesakit.

"Alhamdulillah di Kelantan kita tidak berdepan masalah berkenaan. Malah ada di kalangan pesakit tidak mahu pulang terutama di PUTIK kerana suasana yang selesa dan makanan juga sedap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 2:06 PM