DR Mohd Zurairie. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Mohd Zurairie. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kelantan membuka dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) susulan peningkatan kes Covid-19 sejak dua minggu lalu, menjadikan 13 PKRC setakat ini.

Jumlah Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini setiap hari antara 300 sehingga melebihi 500 kes sehari.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, pihaknya membuka dua lagi PKRC iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor pada Jumaat ini dan sebuah lagi di luar jajahan Kota Bharu.

Katanya, dua PKRC itu dibuka berikutan peningkatan ketara kes Covid-19 terutama selepas Aidiladha berikutan kewujudan beberapa kluster baharu yang dilaporkan.

"Peningkatan itu menyebabkan beberapa PKRC menjadi sesak dengan jumlah penggunaan katil sehingga 98 peratus iaitu PKRC Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa dan Dewan Jubli Perak di sini.

"Jumlah pesakit di PUTIK adalah seramai 298 orang daripada kapasiti 300 orang dan di Dewan Jubli Perak 201 pesakit daripada kapasiti 210 orang.

"Jumlah keseluruhan penggunaan katil di semua PKRC setakat ini di antara 80 hingga 98 peratus," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Unit Pengangkutan Covid-19 di Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zurairie berkata, bagi menampung jumlah pesakit, pihaknya turut menambah bilangan katil di PKRC sedia ada.

Beliau berkata, pihaknya juga membenarkan pesakit yang stabil secara klinikal untuk menjalani perintah kuarantin di rumah (HIO) dengan syarat-syarat tertentu bagi memastikan mereka selamat dan tidak menjangkiti Covid-19 kepada individu lain.

Katanya, pihaknya menutup PKRC di Kolej Kejururawatan Kota Bharu hari ini berikutan untuk digunakan bagi kemasukan pelajar baharu.

"Pihak kita juga mengharapkan kerjasama orang ramai untuk sama-sama bertanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Bagi mereka yang memakai gelang merah jambu diharapkan tidak keluar rumah kerana akan merisikokan orang di sekeliling mereka untuk dijangkiti Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 2:56 PM