GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang parah selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata tajam di hadapan rumahnya di Taman Alma, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, Datuk M Ramachandran, 70, dikatakan baharu turun dari kereta untuk masuk ke rumahnya.

Akibat serangan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) akibat kecederaan pada bahagian leher, peha, belakang kepala serta badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai diserang empat lelaki menggunakan senjata tajam.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan mangsa yang parah kini dirawat di HBM di mana keadaannya dilaporkan stabil.

"Individu yang melihat kejadian diminta tampil atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sobirin di talian 018-2926844 bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 4:49 PM