GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Sembilan lelaki yang terbabit dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Bukit Tengah, di sini, ditahan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung pergaduhan sekumpulan lelaki pada 1.43 pagi.

Menurutnya, dalam kejadian itu, beberapa lelaki cedera akibat dipukul dengan objek tajam.

"Kesemua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 17 hingga 32 tahun itu kemudian ditahan untuk siasatan selanjutnya.

"Mereka turut dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan memandangkan kesemuanya mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati punca pergaduhan itu adalah disebabkan perselisihan faham sesama mereka.

"Semua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 12:06 PM