INSIDEN yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan manakala ibunya cedera. FOTO tular.
INSIDEN yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan manakala ibunya cedera. FOTO tular.
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Murid tahun empat sebuah sekolah di sini, maut digilis treler selepas motosikal dibonceng bersama ibunya terbabas di Jalan Kampung Baru Alma, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialaminya, manakala ibunya cedera.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki dua beranak berkenaan hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya.

"Ketika itu, penunggang motosikal (ibu kepada kanak-kanak perempuan) sempat menyelamatkan diri namun pembonceng (anaknya) digilis sebuah lori (treler) yang datang dari arah sama.

"Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat manakala ibunya dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan.

Shafee berkata, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu tular beberapa keping gambar berhubung kemalangan tragis membabitkan dua beranak itu di media sosial.

Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Alma dijemput ibunya untuk pulang ke rumah sebelum mereka terbabit dengan nahas berkenaan.

Sebelum kejadian mangsa dikatakan ceria bersama rakan serta gurunya dalam satu majlis sambutan Aidilfitri di sekolahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 8:55 PM