FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Shah Alam: Jenazah pesakit covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang lambat atau tidak dituntut waris akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, banyak jenazah yang belum dapat dikebumikan segera atas sebab berkenaan.

Menurutnya, hasil mesyuarat khas pada Khamis lalu memutuskan jenazah tidak dituntut itu disemadi di tanah perkuburan itu.

Katanya, HTAR menghadapi situasi itu kerana masih menunggu waris menuntut jenazah terutama waris yang berada di luar Selangor.

"Bila waris lambat (menuntut), jenazah jadi banyak dan kita buat keputusan untuk kuburkan di Seksyen 21 serta mengikut maklumat yang kita ada. Sekarang (jumlah) jenazah atau mayat sudah mula berkurangan di hospital itu.

"Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 tempat yang sesuai kerana tanahnya mudah diurus berbanding di tempat lain seperti di Pelabuhan Klang yang tanahnya jenis tanah liat," katanya.

Selain itu, katanya bagi mempercepatkan urusan pengebumian, pihaknya akan menggunakan kenderaan lebih besar memuatkan sehingga enam jenazah bagi setiap satu perjalanan.

"Sebelum ini kita gunakan ambulans atau van, jadi kita akan gunakan kenderaan lebih besar yang mungkin boleh muat enam jenazah sekaligus. Maka akan lebih pantas urusan pengebumian selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, HTAR menerusi hantaran di Facebook memaklumkan jabatan perubatan forensik hospital itu bersama Jabatan Agama Islam Selangor sudah menguruskan pengebumian 12 jenazah covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 7:22 PM