Petugas hospital dan UKVJ mengangkat jenazah wanita warga Indonesia yang tidak dituntut warisnya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam. Foto Ihsan UKVJ
Petugas hospital dan UKVJ mengangkat jenazah wanita warga Indonesia yang tidak dituntut warisnya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam. Foto Ihsan UKVJ
Alias Abd Rani


WALAUPUN jasad sudah mereput dan berbau tetapi begitulah situasi dilalui kakitangan rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang ketika menguruskan seorang wanita yang meninggal dunia sejak dua bulan lalu.

Jenazah wanita warga Indonesia berusia 40 tahun itu disimpan di rumah mayat terbabit selepas ketiadaan waris menuntut sekali gus menyukarkan pihak hospital memberi kebenaran kepada pihak lain membawa keluar jasad itu.

Pengalaman itu diceritakan pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) Mohd Hirwan Aiyub ketika pihaknya diminta membawa jenazah terbabit untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Menurutnya, selepas wanita warga Indonesia itu meninggal dunia tetapi tiada seorang waris datang menuntut jenazah menyebabkan pihak hospital menempatkannya di HTAR.

Katanya, pengurusan Masjid Hamiddean Seksyen 19, Shah Alam minta bantuan pihak hospital untuk memandikan dan dikafan jenazah wanita berkenaan berikutan keadaannya sudah uzur.

“Walaupun disimpan tempat beku, ia tetap berbau kerana sudah agak lama meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pengurusan masjid tidak berani untuk menguruskan jenazah terbabit dan mereka akan menyerahkan kepada HTAR.

Katanya, pihak masjid hanya perlu membayar semua kos yang dikenakan.

“Sebaik selesai, pengurusan masjid menghubungi UKVJ untuk membawa jenazah bagi dikebumikan segera memandangkan keadaan jenazah sudah uzur.

“Sepanjang berkhidmat dengan UKVJ beberapa tahun lalu, ia adalah kes jenazah paling lama disimpan di rumah mayat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jenazah wanita itu selamat dikebumikan pada 11.30 pagi hari ini sebaik semua urusan selesai.

“Kebiasaannya, pihak hospital akan memaklumkan kepada JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) terlebih dahulu untuk urusan pengebumian jika jenazah tidak dituntut waris,” katanya.

Selain itu, katanya, hospital juga akan memaklumkan kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab menguruskan jenazah.

“Surat permohonan akan dibuat terlebih dahulu kepada pengarah hospital untuk kebenaran menuntut dan urusan seterusnya dan bil itu akan dibayar pihak JAIS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 8:06 PM