TANAH Perkuburan Islam Raudhatul Baqi' di Cyberjaya 10 sudah menerima 160 jenazah pesakit CIVID-19 semenjak dijadikan Tanah Perkuburan Berpusat COVID-19. FOTO Samadi Ahmad
TANAH Perkuburan Islam Raudhatul Baqi' di Cyberjaya 10 sudah menerima 160 jenazah pesakit CIVID-19 semenjak dijadikan Tanah Perkuburan Berpusat COVID-19. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Bukan sedikit tetapi lebih 160 jenazah mangsa Covid-19 sudah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi' di Cyberjaya 10 di sini, yang dijadikan lokasi Pengurusan Jenazah COVID-19 Berpusat sejak awal bulan ini.

Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussein, berkata tanggungjawab fardu kifayah menguruskan jenazah mangsa Covid-19 ini diuruskan pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang.

Menurut beliau, tugas pengebumian jenazah turut dibantu Unit Pengurusan Kubur Raudhatul Baqi', bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang selama tujuh hari seminggu.

Katanya, 10 jenazah diuruskan setiap hari oleh petugas membabitkan mangsa Covid-19 dari Hospital Serdang, Hospital Putrajaya, Hospital Kajang dan Hospital Pengajar Universiti Putra (HPUPM) selain penduduk di daerah ini.

"Pasukan petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 ini memfokuskan tugas dalam melicinkan operasi mengebumikan setiap jenazah dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat," katanya tadi.

Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi'menjadi tanah perkuburan ketiga di Selangor yang dijadikan sebagai Tanah Perkuburan Berpusat COVID-19 bagi memudahkan waris mengebumikan jenazah mangsa Covid-19.

Tanah perkuburan seluas 1.89 hektar dengan sembilan zon itu mampu memuatkan lebih 1,500 unit kubur termasuk jenazah untuk dewasa, kanak-kanak dan kubur anggota badan.

Dua lagi lokasi adalah Tanah Perkuburan Islam di Seksyen 21, Shah Alam dan Tanah Perkuburan Islam di Selat Klang, Klang.

Abd Hamid berkata, kos pengebumian bagi warganegara Malaysia adalah sebanyak RM150 dan warga asing RM300 membabitkan kos menggali liang lahad dan penyediaan peralatan lain.

Menurutnya, pihak waris dan ahli keluarga tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan tanah perkuburan ketika pengebumian diadakan bagi tujuan keselamatan serta mengelakkan jangkitan pandemik covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 12:26 PM