GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Erika George


Miri: Lima warganegara Vietnam yang ditahan di pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Miri berjaya melarikan diri awal pagi semalam.

Kehilangan lima daripada 13 nelayan Vietnam itu hanya disedari pegawai APMM ketika melakukan pemeriksaan pada 4.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung insiden itu.

Menurutnya, pihaknya kini sedang giat membantu APMM Miri bagi mengesan sekali gus menangkap kelima-lima suspek yang melarikan diri itu.

"Laporan awal yang kita terima mendapati kejadian itu hanya disedari oleh seorang pegawai APMM yang melakukan pemeriksaan harian ke atas bilik tahanan," katanya.

Katanya, siasatan lanjut juga mendapati beberapa jeriji besi dipotong oleh tahanan yang dipercayai menjadi laluan mereka untuk meloloskan diri.

Untuk rekod, kelima-lima nelayan Vietnam antara 13 yang ditahan APMM Miri pada 28 Jun lalu kerana menangkap hasil laut secara haram di perairan negara.

Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 2:22 PM