Lima warga Vietnam yang melarikan diri dari lokap Maritim Malaysia di Miri sejak 15 Julai lalu, berjaya ditahan semula malam tadi. FOTO APMM
Lima warga Vietnam yang melarikan diri dari lokap Maritim Malaysia di Miri sejak 15 Julai lalu, berjaya ditahan semula malam tadi. FOTO APMM
Mohd Roji Kawi


Miri: Kehadiran sebuah kenderaan mencurigakan yang memasuki kawasan loji kumbahan berdekatan muara Sungai Miri, di sini, semalam, membongkar lokasi persembunyian lima warga Vietnam yang melarikan diri daripada tahanan sejak 10 hari lalu.

Kenderaan terbabit didapati meninggalkan bungkusan sebelum tergesa-gesa beredar dari lokasi itu.

Sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), yang mengintip pergerakan kenderaan itu kemudiannya melihat lima individu muncul dari arah pantai menyelinap masuk ke kawasan semak .

Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, tidak lama kemudian anggotanya memeriksa lokasi itu dan mendapati bungkusan yang disyaki makanan hilang dan dipercayai diambil oleh lima individu terbabit.

"Berikutan itu, anggota penguat kuasa bertindak mengepung kawasan itu dan menyerbu suspek.

"Selepas hampir 45 minit mengejar, kesemua suspek berjaya diberkas semula pada jam 11 malam (semalam)," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Lima warga Vietnam terbabit melarikan diri dari lokap APMM, Zon Maritim Miri (ZMM) melalui tingkap tandas yang dirosakkan pada 15 Julai lalu.

Mereka adalah antara 13 nelayan Vietnam yang ditahan pada 28 Jun lalu kerana menceroboh perairan negara dan menangkap ikan tanpa permit serta tiada pengenalan diri yang sah.

APMM turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Oppo daripada salah seorang suspek yang dipercayai digunakan untuk menghubungi dalang yang memberikan bantuan makanan kepada mereka.

"Kesemua suspek yang diberkas kemudian dibawa ke Balai Polis Batu Niah untuk diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.

"Dalang yang dipercayai bersubahat dan memberi bantuan makanan kepada lima warga Vietnam itu kini sedang diburu oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 7:56 PM