GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Norsyazwani Nasri


Kuching: Sebanyak 81 kes rogol direkodkan di Sarawak sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, ia meningkat lima kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Fatimah, 63 daripada keseluruhan kes tahun ini membabitkan remaja berusia 13 hingga 16 tahun dengan 47 daripadanya kini hamil.

"Bagi jenayah keganasan rumah tangga, terdapat penurunan 69 kes daripada 483 tahun lalu kepada 414 kes sepanjang Januari hingga Julai tahun ini.

"Antara punca keganasan rumah tangga adalah berkaitan penyalahgunaan dadah dan substance. Ia membabitkan 330 kes. Selain itu, ia membabitkan panas baran, perceraian, masalah kewangan, curang, cemburu dan salah faham," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Fatimah, kes keganasan rumah tangga juga menunjukkan peningkatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi tempoh Februari 2019 hingga Februari 2020, 690 kes direkodkan. Daripada Mac 2020 hingga Mac 2021, ia meningkat kepada 755 kes.

"Bagi penyalahgunaan dadah dan substance, 8,509 individu ditangkap sepanjang 2019," katanya.

DATUK Sri Fatimah Abdullah(tengah) menerima kunjungan hormat Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak,Deputi Komisioner Mancha Ata(dua kanan) hari ini. FOTO Norsyazwani Nasri
DATUK Sri Fatimah Abdullah(tengah) menerima kunjungan hormat Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak,Deputi Komisioner Mancha Ata(dua kanan) hari ini. FOTO Norsyazwani Nasri

Kata Fatimah, bagaimanapun, tangkapan meningkat kepada 10,294 pada 2020 walaupun PKP mula berkuatkuasa 18 Mac 2020.

Fatimah berkata, antara 3 Mei 2020 sehingga Julai ini pula, 4,317 tangkapan dilakukan.

"Bagi bunuh diri, 49 kes direkodkan sepanjang Januari hingga Disember 2020.

"Sepanjang Januari hingga Jun ini, 37 kes bunuh diri direkodkan," katanya.

Menurut beliau, daripada keseluruhan kes bunuh diri pada 2020 dan tahun ini, 69 membabitkan lelaki.

Kata Fatimah, bagi cubaan bunuh diri pula, 24 kes direkodkan sepanjang Januari hingga Jun 2020 dan 27 kes direkodkan bagi tempoh sama tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 2:18 PM