Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang pegawai veterinar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM58,617 pada 2019 dan 2020.

Tertuduh, Norhamizah Abd Hamid, 42 membuat pengakuan itu kesemua pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan pertama, Norhamizah didakwa menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM19,720 bagi syarikat yang dimiliki suaminya suaminya Iqramudy Sumin, 39, dengan membuat syor memilih syarikat itu untuk melaksanakan kerja membekal peralatan Klinik Bergerak Veterinar.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM19,937 untuk syarikat suaminya dengan membuat syor memilih syarikat itu untuk melaksanakan kerja membekal peralatan makmal.

Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa sekali lagi menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM18,960 untuk syarikat suaminya dengan membuat syor memilih syarikat itu untuk melaksanakan kerja membekal makanan, makanan tambahan (vitamin) serta syampu kucing dan anjing.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 30 Ogos 2019 hingga 16 Jun 2020 di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

NORHAMIZAH (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar.
NORHAMIZAH (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Norhamizah juga didakwa dengan tiga pertuduhan pilihan iaitu memperoleh suapan dengan nilai yang sama sebagai ganjaran melalui pengaruh peribadi iaitu memberi kemudahan dengan membuat syor memilih syarikat milik suaminya untuk melaksana kerja-kerja yang sama.

Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Shah Alam pada setiap awal bulan.

Hakim kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM15,000 dengan syarat tambahan dan kes akan disebut semula pada 26 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 12:39 PM