Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menerima suapan bernilai keseluruhan RM5,900 daripada seorang kontraktor bagi tender penyelenggaraan dan perbekalan.

Tertuduh, Mohamad Yusof Kameh, 55, yang kini Timbalan Pengarah AADK Pulau Pinang, didakwa melakukan kesalahan itu antara 2017 hingga 2019 ketika berkhidmat sebagai pengarah agensi sama di negeri ini.

Dia yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sejurus semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Yusof didakwa menerima suapan RM1,500 daripada seorang individu sebagai upah memilih Syarikat Rahim Maarop Enterprise bagi kerja menyelenggara lokap AADK Jasin, Melaka.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada 24 November 2017 di Pejabat AADK Negeri Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat dia didakwa mengulangi kesalahan sama di tempat sama iaitu menerima suapan daripada individu sama berjumlah keseluruhan RM4,400.

Wang itu sebagai upah kerana memilih Syarikat Mutiara Event Management dan Supplies serta Syarikat Rantaian Rezeki Enterprise, masing-masing bagi perkhidmatan mencetak dan membekal beg kertas untuk AADK negeri dan kerja menyediakan alatan, kelengkapan dan makanan bagi Program Kembara Perdana Bulan Anti Dadah serta bagi kerja menyelenggara genset di AADK Jasin.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan pada 21 Jun 2018 serta 15 dan 19 Mac 2019.

Semua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa dan tidak mengaku bersalah atas empat pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu menerima untuk diri sendiri wang tunai berjumlah RM5,900 daripada individu sama, tanpa balasan.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Irwanshah Abdul Samat menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin sementara perbicaraan selesai serta syarat tambahan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM Sungai Petani, Kedah sebulan sekali.

Tertuduh merayu jaminan itu dikurangkan.

Hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan kes untuk sebutan semula kes pada 16 Mac depan untuk lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 11:36 AM