Izlaily Nurul Ain Hussein


PENOLONG pegawai veterinar di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini terhadap tiga tuduhan menerima RM3,500 daripada seorang pengurus syarikat kontraktor pembekalan antara November 2013 hingga Oktober 2014.

Mohd Razi Basar, 41, membuat pengakuan itu selepas semua tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, tertuduh yang juga Ketua Unit Ruminan didakwa menerima wang berkenaan dalam akaun bank miliknya tanpa sebarang balasan daripada Mohamad Zakariah Mohamad.

Tertuduh didakwa tahu perbuatannya itu ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai pegawai yang bertanggungjawab memberi kerja membekal dan menghantar bahan binaan kandang kambing berjumlah RM9,849.90 kepada JPV serta membekal dan menghantar bahan binaan kandang lembu berjumlah RM9,978.40 dan membekal dan menghantar pagar ‘cyclone’ berjumlah RM9,996 kepada JPV.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru pada 21 November 2013, 12 Mei 2014 dan 10 Oktober 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsyarina Raizan menawarkan jaminan RM15,000 kepada tertuduh sebelum dibantah Tan Song Yan yang mewakili tertuduh.

Tertuduh diiringi pegawai SPRM ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Zain Ahmed
Tertuduh diiringi pegawai SPRM ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Zain Ahmed

Tan memohon jumlah itu dikurangkan atau menggunakan ikat jamin yang sama memandangkan anak guamnya itu pernah didakwa bagi empat lagi tuduhan rasuah di mahkamah sama.

“Tertuduh mempunyai tanggungan isteri yang tidak bekerja dan tiga anak yang mana dua daripadanya masih bersekolah.

“Anak guam saya menghadapi satu lagi kes di mahkamah ini yang akan memulakan perbicaraan pada minggu depan. Sejak disiasat SPRM, tertuduh memberi kerjasama dalam kedua-dua kes ini.

“Tertuduh masih penjawat awam tetapi mengambil cuti tanpa gaji sejak disiasat SPRM dan kini tidak mempunyai gaji tetap untuk menyara keluarga,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Januari untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pada 19 Jun 2017, Mohd Razi mengaku tidak bersalah bagi empat tuduhan menerima RM35,000 daripada seorang kontraktor antara 1 Ogos 2013 hingga 10 April 2014.

Berita berkaitan

ak mengaku salah terima sogokan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 1:26 PM