Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Seorang lelaki tidak sempat mengedar dadah heroin seberat lebih 8.3 kilogram (kg) apabila ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di jalan berhampiran sebuah masjid di Pinang Tunggal, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 2 petang itu, suspek berusia 32 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil pemeriksaan beg digalas suspek menemui paket plastik lutsinar berisi ketulan putih disyaki heroin seberat 6.36 kg.

Katanya, polis kemudian membawa suspek ke rumahnya di Taman Serai, Padang Serai dan menahan tiga wanita iaitu isterinya berusia 20 tahun, adik iparnya berusia 14 tahun dan ibu mentuanya berusia 48 tahun di ruang tamu rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di bilik tingkat atas rumah berkenaan menemui beg pakaian mengandungi paket plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 1.94 kg.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas dari seorang lelaki yang ditahan bersama isteri, ibu mentua dan adik iparnya di dua lokasi berasingan di Kuala Muda dan Kulim. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas dari seorang lelaki yang ditahan bersama isteri, ibu mentua dan adik iparnya di dua lokasi berasingan di Kuala Muda dan Kulim. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

"Turut dirampas, paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 12.5 gram serta peralatan membungkus dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Mohd Roze Shaari; Ketua JSJN Kedah Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.

Kamarul Zaman berkata, modus operandi dilakukan suspek adalah mencari pelanggan pada waktu siang dan mengambil kesempatan keadaan lengang bagi menghantar bekalan dadah.

"Kesemua dadah ditemui dianggar bernilai RM94,960 dan turut dirampas wang tunai RM950, kereta jenis Proton Saga bernilai RM19,000 dan motosikal jenis Yamaha Ego bernilai RM5,500.

"Semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah dan dia bekerja kampung manakala isteri, adik iparnya ibu mentuanya tidak bekerja," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari mulai semalam, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 6:51 PM