Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis menahan lima lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas dadah jenis heroin base bernilai RM491,972 dalam empat serbuan berasingan di Kuala Muda, Isnin lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan pertama jam 4.40 petang, polis menahan kereta di tepi jalan Taman Cindai Jaya, Sungai Petani dan menahan dua lelaki masing-masing berusia 21 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui empat ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar dan kertas minyak berisi bahan dadah jenis heroin base anggaran berat 2.98 kilogram (kg).

"Turut ditemui di but kereta ialah kotak mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk putih bahan kimia seberat 25kg dan bungkusan aluminium berisi bahan kimia seberat satu kg.

"Polis kemudian menahan seorang lagi suspek berusia 29 tahun yang menunggang motosikal di tepi jalan Taman Cindai Jaya, Sungai Petani pada hari sama dan menemui dadah jenis heroin base anggaran berat 2.2kg," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Mohd Roze Shaari dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin.

Kamarul Zaman berkata, susulan tiga tangkapan awal berkenaan, pihaknya melakukan serbuan ketiga pada hari sama dengan menahan pemandu Perodua Myvi di tepi jalan Taman Cindai Jaya, Sungai Petani.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang disyaki terbabit dalam kes sama.

"Berikutan daripada tangkapan itu, polis menahan seorang lagi suspek berusia 36 tahun menaiki Perodua Myvi di tepi jalan hadapan rumah di Taman Ria Jaya, Sungai Petani.

"Suspek ketika itu berada di bahagian tempat pemandu dan ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah sama," katanya.

Kamarul Zaman berkata, semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah, seorang lagi mempunyai 12 rekod jenayah manakala suspek kelima tidak mempunyai rekod.

"Kita turut merampas kereta jenis Toyota Vios bernilai RM27,800, motosikal Honda Wave bernilai RM3,500 dan Perodua Myvi bernilai RM18,000.

"Jumlah dadah jenis heroin base yang dirampas adalah sebanyak 5.2kg yang keseluruhannya dianggar bernilai RM491,972 manakala nilai barangan disita adalah RM124,100," katanya.

Kamarul Zaman berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati mereka bebas pengambilan dadah dan semua suspek direman tujuh hari sehingga 18 Oktober ini.

"Sekiranya bahan dadah ini terlepas ke pasaran, ia boleh diguna hampir sejuta penagih dengan heroin base digunakan sindiket untuk memproses dadah.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 11:33 AM