DADAH yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di daerah Kota Setar selepas hasil penahanan dua lelaki disyaki tokan, Selasa lalu.FOTO Ihsan PDRM
DADAH yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di daerah Kota Setar selepas hasil penahanan dua lelaki disyaki tokan, Selasa lalu.FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Dua lelaki disyaki tokan dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di daerah ini kerana memiliki dadah bernilai RM12,800, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, serbuan pertama dilakukan jam 11.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tengah, di sini.

Beliau berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 32 tahun di rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik kita menemui satu bungkusan plastik hitam yang mana di dalamnya mengandungi dua plastik hijau.

"Setiap satu plastik itu mengandungi satu paket plastik cerah berisi ketulan putih disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 455 gram dan satu paket plastik cerah berisi ketulan putih disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 456 gram.

"Keseluruhan dadah jenis heroin yang dirampas adalah seberat 912 gram bernilai RM12,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

DADAH yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di daerah Kota Setar selepas hasil penahanan dua lelaki disyaki tokan, Selasa lalu.FOTO Ihsan PDRM
DADAH yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di daerah Kota Setar selepas hasil penahanan dua lelaki disyaki tokan, Selasa lalu.FOTO Ihsan PDRM

Mohd Taufik berkata, susulan itu, serbuan kedua dilakukan pada jam 12 tengah hari pada hari yang sama dan pihaknya menahan lelaki berusia 27 tahun di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Sungai Korok, di sini.

"Hasil pemeriksaan di dalam bilik itu turut menemui satu uncang kain hitam yang mana di dalamnya terdapat 10 peket plastik lutsinar bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran seberat 11.50 gram bernilai RM800.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM12,800," katanya.

Selain itu katanya, pihaknya turut menyita harta suspek iaitu wang tunai berjumlah RM 1,742.

Menurutnya, dua tangkapan itu direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha JSJN Kedah dalam memastikan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah berbahaya ditumpaskan.

"Polis juga sentiasa memerlukan kerjasama serta pembabitan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka kepada pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 8:31 PM