Kamarul Zaman menunjukkan dadah jenis heroin tulen seberat 2.25 kg yang dirampas di Pendang, Sabtu lalu. FOTO IHSAN Polis Kedah
Kamarul Zaman menunjukkan dadah jenis heroin tulen seberat 2.25 kg yang dirampas di Pendang, Sabtu lalu. FOTO IHSAN Polis Kedah
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Polis merampas dadah heroin seberat lebih dua kilogram bernilai RM195,000 dalam serbuan di sebuah bengkel di Padang Pusing, Pendang, Sabtu lalu.

Dalam serbuan kira-kira 7 malam itu, tiga suspek berusia antara 36 hingga 49 tahun di bengkel di Kampung Lubok Rambutan itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pemeriksaan dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menemui bungkusan plastik di atas meja di bilik bengkel berkenaan.

Katanya, pemeriksaan kemudian mendapati terdapat enam ketulan mampat berisi bahan dipercayai dadah heroin tulen seberat 2.25 kilogram.

"Susulan daripada serbuan itu, pihak polis kemudian melakukan satu lagi tangkapan ke atas lelaki warga tempatan berusia 45 tahun di Butterworth, Pulau Pinang pada 5.10 pagi, kelmarin.

"Kesemua mereka ditahan kerana dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah sekitar Kedah dan Pulau Pinang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM1,708 dan dua kereta BMW serta Nissan yang keseluruhannya dianggar bernilai RM41,708.

"Kami percaya dadah heroin tulen terbabit diseludup dari negara jiran dan akan diproses bagi mengeluarkan serbuk heroin yang jika terlepas ke pasaran boleh diguna sehingga 10,000 penagih.

"Semakan rekod ke atas keempat-empat suspek mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine," katanya.

Keempat-empat suspek direman tujuh hari bermula kelmarin hingga 31 Julai dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 4:56 PM