GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kluster Tembok yang membabitkan jangkitan Covid-19 di Penjara Tawau dan Penjara Kepayan di Kota Kinabalu menjadi kluster paling aktif sekali gus mendominasi peningkatan kes di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, 38.2 peratus atau 123 kes baharu Covid-19 Sabah semalam adalah berpunca daripada Kluster Tembok Tawau (Penjara Tawau) iaitu sebanyak 97 kes dan Kluster Tembok Kota Kinabalu (Penjara Kepayan) sebanyak 26 kes.

"Kes dari kluster terbabit sekali gus menjadikan punca daerah Tawau mencatatkan kes tertinggi semalam sebanyak 112 kes kemudian diikuti kes dari Kota Kinabalu sebanyak 72 kes," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 semasa kekal mencatatkan kes sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 322 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 70,229 kes dan satu kematian direkodkan di Tawau.

"Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital 148 menjadikan jumlah kumulatif 67,757 orang.

"Seramai 1,656 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 386 orang di hospital, 1,129 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, manakala 141 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 8:25 AM