GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kluster Tembok yang membabitkan jangkitan di Penjara Kepayan, di sini, dan Penjara Tawau menyumbang lebih 50 peratus daripada 666 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini, tertinggi sejak Januari lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, Penjara Kepayan menyumbang 211 kes Covid-19 atau 76 peratus daripada 278 kes di Kota Kinabalu, manakala Penjara Tawau menyumbang 124 kes atau 85.5 peratus daripada 145 kes yang dilaporkan di daerah Tawau.

Katanya, sebanyak 335 kes Covid-19 datang dari kedua-dua penjara berkenaan pada hari ini atau mewakili 50.3 peratus daripada 666 jumlah kes yang dilaporkan di Sabah.

"Jumlah kes positif Covid-19 Sabah hari ini adalah yang tertinggi setakat ini dengan sebanyak 666 kes iaitu peningkatan 19 kes berbanding 647 kes semalam.

"Hari ini juga boleh dipanggil 'Hari Penjara' kerana 50.3 peratus daripada kes di Sabah datang daripada dua penjara, iaitu Penjara Kepayan sebanyak 211 kes dan Penjara Tawau sebanyak 124 kes," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Sebanyak dua kematian turut dilaporkan pada hari ini, iaitu masing-masing satu di daerah Lahad Datu dan Beaufort, manakala empat kluster baharu direkodkan dan 275 pesakit dilaporkan sembuh.

Berikutan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19, kadar penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 turut meningkat kepada 57.52 peratus hari ini atau seramai 3,058 pesakit, iaitu 462 orang di hospital, PKRC awam (1,815) dan 781 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau Penjara.

Ketika ini sebanyak 5,316 unit katil disediakan untuk pesakit COVID-19 di Sabah, masing-masing 706 unit di hospital, PKRC awam (3,322 unit), manakala di PTS atau penjara sebanyak 1,288 unit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 10:12 PM