GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kluster Penjara Kepayan, di sini adalah antara 45 kluster Covid-19 yang dikenal pasti masih aktif dan merekodkan kes baharu di Sabah sehingga kini.

Kluster membabitkan banduan yang ditahan di penjara berkenaan setakat ini mencatat 1,900 kes dan disenarai antara tiga kluster menyumbang kes tertinggi di Sabah setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata dua lagi ialah Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau dan Kluster Benteng Lahad Datu yang sudah tamat, masing-masing merekodkan 1,168 kes dan 827 kes.

"Setakat 27 Januari 2021, Sabah merekodkan 134 kluster Covid-19, yang mana 45 kluster masih aktif, manakala 89 kluster sudah tamat.

"Secara kumulatif, terdapat 14,200 kes positif Covid-19 dalam 134 kluster yang didaftarkan ini," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Kluster Penjara Kepayan sebelum ini pernah merekodkan kes harian yang tinggi mencapai tiga angka hingga memaksa pihak berkuasa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berlanjutan selama sebulan pada Oktober lalu.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah, berkata setakat ini sebanyak 48 kes import positif Covid-19 dari negara luar dilaporkan di negeri ini dengan kes tertinggi membabitkan individu dari Filipina.

Setakat ini, katanya sebanyak 16 kes import dilaporkan dari Filipina, diikuti Indonesia (15), Pakistan dan Thailand (masing-masing empat kes), United Kingdom (tiga kes), China dan India (masing-masing dua kes) serta Arab Saudi dan Vietnam (masing-masing satu kes).

Semalam, Sabah mula menunjukkan penurunan kes positif Covid-19 apabila merekodkan 295 kes baharu berbanding antara 300 hingga lebih 400 kes sebelum ini menjadikan kumulatif setakat ini sebanyak 47,737 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 8:15 AM