FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Seremban: Seekor beruang matahari jantan seberat 40 kilogram berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan selepas memasuki perangkap dipasang di Kampung Jimah Lama di sini, semalam.

Pengarah Perhilitan negeri Wan Mat Wan Harun berkata, perangkap itu dipasang sejak 18 Jun lalu, susulan aduan penduduk kampung mengenai kelibat seekor beruang matahari di lokasi berkenaan pada 12 Jun.

"Haiwan itu memasuki perangkap pada jam 7.15 malam (kelmarin). Sebaik menerima maklumat itu, tujuh anggota Perhilitan Negeri Sembilan dihantar ke kampung berkenaan untuk memeriksa perangkap itu.

"Beruang itu sesat terutama ketika musim durian ini. Berkemungkinan bau durian menarik perhatian beruang matahari itu keluar dari habitat asal," katanya.

Beliau berkata beruang itu berada dalam keadaan sihat dan dirawat oleh pegawai veterinar Jabatan Perhilitan terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke kawasan hutan simpan perlindungan hidupan liar di negeri ini pada pagi semalam bagi memastikan spesisnya terjaga.

Jelasnya, beruang matahari tidak akan bertindak agresif sekiranya tiada sebarang provokasi dikenakan ke atas haiwan berkenaan bagaimanapun ia tetap berbahaya kerana memiliki gigi dan kuku yang tajam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 9:06 PM