Polis mengepung Perodua Myvi biru yang dinaiki suspek pecah rumah. FOTO Ihsan PDRM
Polis mengepung Perodua Myvi biru yang dinaiki suspek pecah rumah. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Amanina Suhaini


Iskandar Puteri: Tiga suspek pecah rumah nekad terjun dari jejambat berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Tampoi di sini, ketika dikejar polis semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, bagaimanapun mereka berjaya ditahan selepas mengalami kecederaan.

Katanya, terdahulu anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di terserempak sebuah Perodua Myvi biru dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Seri Orkid berhadapan Hutan Bandar, Taman Mutiara Rini di sini, kira-kira jam 4.45 pagi.

Katanya, polis kemudiannya menghampiri kenderaan itu dan mengarahkan pemandu supaya berhenti, namun tidak diendahkan dan terus memecut laju ke arah Jalan Skudai.

"Ketika kereta suspek diekori polis, ia terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Tampoi berhampiran Plaza Angsana Johor Bahru.

"Pemeriksaan mendapati empat lelaki tempatan berusia 22 hingga 30 tahun berada di dalam kereta berkenaan.

"Ketika proses tangkapan dibuat, tiga daripada mereka bertindak terjun dari jejambat menyebabkan suspek patah tangan, bahu dan pinggang," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan rekod mendapati tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau, selain kesemua suspek disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di kawasan Jalan Bakti, Mutiara Rini.

Katanya, polis turut merampas dua topi keledar, radio, dua pembesar suara, sebuah mesin pemotong, dua telefon bimbit, selain pemotong bunga, sarung tangan, pemutar skru, penukul serta playar boleh laras.

"Tiga suspek yang cedera kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah Johor (HSA) Bahru.

"Semua suspek direman seminggu bermula hari ini sehingga 29 Jun ini, selain kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 1:15 PM