Rumah yang disamun Geng Hitam Putih di Taman Mutiara Rini, Skudai, 10 Ogos lalu. FOTO IHSAN POLIS
Rumah yang disamun Geng Hitam Putih di Taman Mutiara Rini, Skudai, 10 Ogos lalu. FOTO IHSAN POLIS
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Geng Hitam Putih yang melakukan samun dan pecah rumah termasuk menceroboh serta melarikan kereta ketika penghuni berada di dalam rumah akhirnya tumpas selepas diberkas polis.

Empat lelaki tempatan berusia 30 hingga 35 tahun itu ditahan sehari selepas kejadian yang dilaporkan berlaku di Taman Mutiara Rini, Skudai, 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, penahanan empat suspek pada 11 Ogos itu turut membantu polis menyelesaikan 12 kes jenayah yang mana tujuh daripadanya dilaporkan di Iskandar Puteri.

Menurut beliau, antara kes jenayah terbabit adalah samun, pecah rumah dan melarikan kenderaan.

"Pada 10 Ogos lalu, kita menerima satu aduan pada jam 2 petang, membabitkan kejadian samun melarikan sebuah kenderaan.

"Pengadu seorang guru wanita berusia 38 tahun memberitahu, kediamannya dimasuki dua suspek yang menaiki motosikal dan meluru masuk sebelum mengacukan pisau ke arahnya.

"Ketika kejadian, mangsa bersama tiga orang anaknya di dalam rumah sebelum suspek bertindak melarikan telefon dan sebuah Perodua Myvi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rahmat memberitahu, pihaknya berjaya menahan empat suspek yang dipercayai terbabit dengan kejadian itu di sekitar Iskandar Puteri pada jam 1.30 petang, 11 Ogos lalu.

"Dalam operasi berkenaan, kita turut berjaya merampas Perodua Myvi dan dua buah telefon milik mangsa yang dilaporkan disamun kumpulan berkenaan.

"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga mendapati semuanya positif dadah selain turut mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya.

Menurut beliau, semua suspek masih ditahan reman sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 2:41 PM