GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdu Rahman

Alor Setar: Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan bot pukat tunda yang melakukan pencerobohan di kawasan nelayan pantai di Pulau Pinang.

Pengerusi Jaring Che Ani Mat Zain berkata, nelayan pantai mengesan kehadiran bot tunda yang dipercayai berdaftar di Pulau Pinang itu selepas sering dilihat menceroboh kawasan perairan zon nelayan A terutama pada waktu malam.

"Bot ini dikenali sebagai 'bot kebal' dalam kalangan nelayan. Bot pukat tunda dilihat menceroboh zon A kurang dari tiga batu nautika dari perairan Pulau Pinang pada 12.30 tengah malam, 17 Jun lalu.

"Bot ini dirakam nelayan yang kebetulan berada di kawasan berkenaan. Amat menghairankan bot yang mempunyai rekod 17 kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 masih lagi dibenarkan beroperasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Ani berkata, pihaknya percaya terdapat banyak lagi bot pukat tunda yang mempunyai kesalahan dan rekod sama seperti bot terbabit.

Katanya, hanya dalam tempoh seminggu sahaja terdapat empat pencerobohan bot tunda dikesan berlaku di kawasan Teluk Bahang, Pulau Pinang.

"Jaring amat bimbang jika keadaan ini berterusan, ia akan merosakkan khazanah laut dan menjejaskan pendapatan nelayan pantai zon A dan kita kerap menerima aduan nelayan berkaitan pencerobohan vesel tunda di kawasan zon tangkap nelayan A.

"Kita menggesa dan mencadangkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Jabatan Perikanan agar bot pukat tunda terbabit dilucutkan lesen dan tidak lagi dibenarkan beroperasi," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya menggesa siasatan terperinci dibuat ke atas bot tunda terbabit.

"Satu jawatankuasa khas perlu menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pemilik serta bot pukat tunda yang dikenakan tindakan undang-undang dengan Jabatan Perikanan harus pamerkan nombor bot di laman web.

"Pelan penghapusan penggunaan pukat tunda harus diteruskan dan perlu disegerakan agar dapat menjamin kelestarian sumber perikanan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 1:23 PM