GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Seremban: Saringan bersasar Covid-19 yang dilakukan terhadap pekerja dari sektor perindustrian, saringan kontak rapat dan saringan bergejala menyumbang kepada peningkatan kes wabak itu di Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, ia juga disebabkan peningkatan kes import dari negeri berjiran dengan penduduk di Negeri Sembilan yang bekerja di negeri terbabit, kemudiannya menjangkiti ahli keluarga mereka di sini.

"Masih terdapat juga kes yang dikesan dari kluster komuniti yang berlaku sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Namun, kadar kebolehjangkitan Covid-19 bagi Negeri Sembilan telah menurun dari 1.23 pada 5 Jun kepada 1.05 (semalam)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan aktiviti saringan Covid-19 berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah untuk mengesan lebih ramai kes positif Covid-19 bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Semalam, Negeri Sembilan menjadi negeri kedua tertinggi kes harian Covid-19 selepas Selangor dengan merekodkan 618 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatifnya sebanyak 33,451 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 2:55 PM