PETUGASS Kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. FOTO Ghazali Kori
PETUGASS Kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. FOTO Ghazali Kori
Mohd Amin Jalil


Seremban: Saringan bersasar yang dilakukan majikan terutama dari sektor perindustrian menjadi penyumbang utama peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 di Negeri Sembilan, dalam tempoh 24 jam lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain itu, saringan kontak rapat serta bergejala turut menjadi faktor yang mempengaruhi peningkatan kes pandemik berkenaan di negeri itu.

Katanya, sebanyak 36 peratus daripada kes yang dilaporkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPR) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) semalam, adalah daripada kluster, kontak rapat (41 peratus) dan sporadik (23 peratus).

"Daripada keseluruhan kes baharu itu, terdapat 78 peratus membabitkan pekerja di sektor perindustrian, pusat jagaan khas (13 peratus) dan komuniti (9 peratus).

"Selain itu, sebanyak 53 peratus daripada kes sporadik membabitkan saringan pekerjaan atau bergejala terhadap pekerja dalam sektor perindustrian.

"Peningkatan kes yang dilaporkan semalam jelas hasil daripada saringan bersasar yang dilakukan majikan terhadap kebanyakan pekerja terutama di Seremban," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, peningkatan kes ini juga adalah hasil saringan kontak rapat yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri menyarankan supaya orang ramai melakukan kawalan pergerakan kendiri terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Kawalan pergerakan kendiri ini boleh dilakukan dengan duduk sahaja di rumah, tidak keluar dari rumah jika tiada keperluan penting.

"Orang ramai perlu mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama sekiranya perlu keluar rumah atas apa-apa urusan penting," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Negeri Sembilan merekodkan jangkitan baharu Covid-19 sebanyak 1,086 kes berbanding 607 kes kelmarin.

Ia meletakkan Negeri Sembilan menduduki tempat kedua tertinggi di belakang Selangor yang merekodkan 1,858 kes baharu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 9:29 AM