NABIL mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk dalam pemantauan dan perondaan operasi kawalan anjing liar. FOTO Ihsan Nabil Halimi
NABIL mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk dalam pemantauan dan perondaan operasi kawalan anjing liar. FOTO Ihsan Nabil Halimi
Nurul Najwa Mohd Noordin dan Siti Norhidayah Mohd Yunus

Kuala Lumpur: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah menjalankan operasi kawalan anjing liar di sekitar Blok 11, Pangsapuri Desa Mentari, Taman Medan, Petaling Jaya, dekat sini, bagi menjamin keselamatan penduduk.

Ahli Majlis MBPJ, Nabil Halimi berkata, beliau juga sudah berjumpa dengan persatuan penduduk bagi memantau lokasi dan mendapatkan gambaran jelas berhubung isu berkenaan.

"Sehingga 2 Mei lalu, beberapa anjing liar sudah ditangkap oleh Unit Pasukan Khas MBPJ.

"Buat masa sekarang keadaan masih lagi terkawal, namun pihak kami akan terus memantau keadaan di lokasi," katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan keresahan penduduk di Blok 11, Pangsapuri Desa Mentari mengenai kacau ganggu kumpulan anjing liar sehingga menggugat keselamatan mereka.

Kumpulan anjing liar ini bukan sahaja berkeliaran di kawasan pangsapuri, taman permainan serta kawasan lot kedai, malah bertindak agresif dengan mengejar penduduk.

Nabil berkata, MBPJ akan mengambil tindakan segera apabila menerima aduan daripada penduduk tanpa mengira sama ada waktu pagi atau malam.

"Dengan cara ini, kami dapat memastikan kawalan anjing liar dilakukan dengan lebih efektif serta dapat mengkaji punca ini berlaku," katanya.

Dalam pada itu, katanya, MBPJ juga akan melaksana program pendidikan umum untuk komuniti setempat bagi memberi kesedaran berkenaan punca dan kesan anjing liar berkeliaran.

Katanya, punca anjing liar ini berkeliaran di kawasan itu kerana demografik Taman Medan yang pesat.

"Kawasan ini adalah kawasan perindustrian, secara tidak langsung mendorong haiwan terbabit berkeliaran di sini.

"Malah, tahap kebersihan juga kurang memuaskan apabila sampah dan sisa makanan tidak dibuang dengan betul.

"Selain itu, tindakan segelintir pihak yang memberi makan kepada anjing liar ini turut menjadi penyebabnya," katanya.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel ke Suara Anda, Kami Dengar di

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 7:01 AM