S Veerapan
S Veerapan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Individu berusia 40 tahun ke atas di Negeri Sembilan boleh mendapatkan dos penggalak Covid-19 secara 'walk-in' mulai 22 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, kerajaan negeri membuat keputusan untuk memperluaskan lagi pemberian dos penggalak rakyat negeri ini.

Katanya, program pemberian dos penggalak yang bermula 13 Oktober lalu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap imunisasi yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas mendapat dos lengkap.

"Dos penggalak ini bertujuan memastikan tempoh perlindungan yang optimum diperolehi oleh penerima vaksin Covid-19.

"Kita (kerajaan negeri) berharap peluang ini dapat dimanfaatkan orang ramai untuk mendapatkan suntikan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya dapat mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan bagi mendapatkan suntikan berkenaan.

"Dos penggalak adalah penting untuk memastikan kita sentiasa mendapat perlindungan yang terbaik dan tertinggi sekali gus menghindar daripada dijangkiti wabak ini," katanya.

Mengulas mengenai situasi Covid-19, Veerapan berkata kes jangkitan baharu wabak itu menunjukkan sedikit peningkatan sejak beberapa hari lalu berbanding sebelum ini.

Menurutnya, terdapat 244 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 106,301 kes.

"Terdapat tiga kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan semalam. Saya berharap rakyat Negeri Sembilan terus kekal dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi memastikan kita dapat mengekang penularan wabak pandemik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 4:39 PM