GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Amin Jalil

Seremban: Seramai 41 penuntut Politeknik Nilai di Bandar Enstek di sini, dikesan positif Covid-19 membabitkan Kluster Persiaran Pendidikan Nilai, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Kesihatan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, kluster berkenaan mula dilaporkan pada 8 Disember lalu membabitkan penuntut Politeknik Nilai.

Katanya, 11 kes pertama dikesan melalui saringan bersasar terhadap penuntut menggunakan Antigen Rapid Test Kit (RTK) Saliva antara 3 sehingga 6 Disember lalu.

"Daripada 11 kes yang dikesan itu, seramai 36 kontak rapat dikesan dan 19 positif daripadanya positif.

"Bagaimanapun hasil saringan yang dijalankan terhadap 440 penuntut sehingga jam 12 tengah hari hari ini, mendapati secara keseluruhannya hanya 41 positif Covid-19 manakala 399 orang lagi tidak bergejala," katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah berkata, 10 orang sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Tampin.

Katanya, seorang daripadanya pula di kuarantin di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ), Seremban manakala selebihnya berada di blok asrama.

"Seramai 38 kontak rapat sudah diasingkan di blok asrama yang berbeza dan setakat ini 14 kes positif sudah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Veerapan berkata, pihaknya menerima laporan terdapat 10 individu daripada sebuah keluarga di Broga, dekat sini, didapati positif wabak berkenaan.

"Sembilan didapati mempunyai kontak rapat dan mereka sudah dihantar ke PKRC Tampin.

"Kesemuanya berada di bawah kawalan dan tidak perlu bimbang," katanya yang menafikan dakwaan di laman sosial mengatakan 40 individu positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 4:56 PM