GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Ahmad Hasbi

Seremban: Jumlah kes pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Jempol, yang didapati positif Covid-19 meningkat sebanyak 22 kes hari ini,.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes indeks Kluster Air Hitam sebanyak 150 kes.

"Sehingga jam 12 tengah hari tadi seramai 640 individu sudah menjalani ujian saringan dan 150 daripada mereka didapati positif Covid-19 manakala seramai 490 adalah negatif.

"Semua individu terbabit sudah mendapat keputusan ujian saringan dan tiada lagi individu sedang menunggu keputusan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Difahamkan, Kluster Air Hitam diisytiharkan pada Khamis lalu dan operasi latihan di Pulapol berkenaan sudah dihentikan bermula 10 Januari, selain asrama turut ditutup dan menjadi pusat isolasi.

Media Isnin lalu melaporkan sebanyak 128 kes positif Covid-19 dilaporkan di Pulapol Air Hitam.

Veerapan dilaporkan berkata, kes indeks Kluster Air Hitam itu bermula dengan saringan bergejala terhadap lima pelatih, dan keputusan adalah positif.

Mengulas mengenai bilangan kes di Negeri Sembilan, beliau berkata, sehingga jam 12 tengah hari semalam, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 115,971 kes dan jumlah keseluruhan kes kematian pula sebanyak 1,329.

"Terdapat 171 kes baharu dilaporkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS). Sebanyak 138 kes dalam negara dan bakinya luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 7:08 PM