GAMBAR hiasan. FOTO Hazreen Mohamad
GAMBAR hiasan. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Amin Jalil


Seremban: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) selama tujuh hari dilaksanakan di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) Kuala Pilah, dekat sini, bermula semalam sehingga 8 Disember ini.

Tindakan itu diambil susulan seramai 32 penuntut dan pensyarah KMNS dilaporkan positif Covid-19 daripada 565 saringan yang dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Kesihatan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, kes membabitkan Kluster Intan Delima 2 itu mula dikesan pada 21 November lalu dari seorang pensyarah yang disahkan positif melalui saringan bergejala.

"Kluster ini membabitkan penuntut dan pensyarah di kolej berkenaan. Kes pertama (kes indeks) dikesan pada 21 November iaitu seorang pensyarah yang disahkan positif melalui saringan bergejala.

"Susulan itu, beberapa siri saringan kontak rapat dilakukan dari 22 hingga 30 November dalam kalangan penuntut, pensyarah dan ahli keluarga yang mana ada dalam kalangan mereka yang didapati positif.

"Bagi memastikan perebakan jangkitan dapat dihentikan, saringan besar-besaran secara bersasar dilakukan terhadap 326 orang lagi pada 1 Disember lalu," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah berkata, semua kes positif yang dikesan diasingkan di bangunan khas di kolej berkenaan.

Katanya, terdapat juga yang dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Tampin, manakala 105 kontak rapat sedang menjalani kuarantin di tiga blok Kediaman KMNS.

Veerapan berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) terpaksa diambil untuk memastikan risiko jangkitan tidak berterusan.

Menurutnya, tiada pergerakan keluar dan masuk dibenarkan sepanjang tempoh perintah berkenaan dilaksanakan.

"Saringan akan dijalankan kepada semua individu yang bergejala sepanjang TEMCO berkuat kuasa, manakala saringan bersasar akan dilaksanakan kepada semua warga KMNS pada hari kelima TEMCO bagi memastikan mereka bebas dari wabak Covid-19 sebelum ditamatkan tempoh kuarantin mereka," katanya.

Veerapan berkata, satu jawatankuasa khas sudah ditubuhkan bagi menyelaras hal ehwal pentadbiran termasuk penyediaan makanan, kawalan keselamatan, pengurusan pembuangan sisa domestik dan yang berkaitan.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah akan menjalankan aktiviti disinfeksi di semua premis di dalam KMNS termasuk kelas, makmal, surau dan koridor asrama.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis serta kakitangan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan melakukan pemantauan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 9:27 PM