FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Pekerja asing yang berkhidmat di sektor perkilangan dan perindustrian menjadi penyumbang tertinggi kepada peningkatan kes Covid-19 di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, statistik itu hasil langkah kerajaan mewajibkan semua sektor perkilangan mengadakan saringan Covid-19 terhadap pekerja mereka.

Katanya, bagaimanapun setakat ini hanya kira-kira 60 peratus kilang yang sudah mengadakan saringan wajib Covid-19 terhadap pekerja masing-masing terutama membabitkan warga asing.

"Hasil saringan dijalankan itu kita dapati terdapat kalangan pekerja kilang terbabit positif Covid-19 yang tinggi, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes wabak berkenaan di negeri ini.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah, untuk kes membabitkan komuniti tempatan agak terkawal.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kepemimpinan tempatan yang telah mengadakan kempen bagaimana untuk kita mengawal wabak Covid-19 ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Berpandukan laporan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Jabatan kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 100 kes baharu Covid-19, semalam.

Aminuddin berharap, kilang yang belum membuat saringan Covid-19 terhadap pekerja mereka supaya berbuat demikian, bagi memastikan hasrat kerajaan mengawal penularan wabak berkenaan berkesan.

"Saringan ini penting supaya kita dapat mengawal penularan wabak ini," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan, S Tharumarajan menjelaskan bahawa lebih 19,000 pekerja asing dari pelbagai sektor di negeri ini belum menjalani ujian saringan Covid-19 sejak ia diwajibkan pada 1 Januari lalu.

Katanya, setakat ini hanya sekitar 62 peratus daripada keseluruhan 51,000 pekerja asing di negeri ini yang sudah membuat saringan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 5:46 PM