GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Seremban: Seorang akauntan berputih mata apabila kerugian RM104,000 selepas terpedaya dengan peraduan menang wang yang didakwa daripada sebuah platform beli-belah dalam talian, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, wanita berusia 39 tahun itu menerima mesej menerusi akaun Facebook, 'Irene Wee' yang memaklumkan mangsa memenangi wang daripada Shopee kira-kira 2 petang.

Katanya, suspek kemudian memberi nombor telefonnya iaitu 019-9109136 kepada mangsa memaklumkan bahawa wanita itu memenangi wang sebanyak RM3,573 (1,150 SGD).

"Suspek turut meminta nombor kad kredit mangsa dan butiran kad bagi urusan penerimaan wang berkenaan dan mangsa memberi nombor serta butiran kad kredit HSBC dan Standard Chartered miliknya.

"Mangsa diarahkan untuk menghantar mesej OTP kepada suspek. Kemudian mangsa mendapati ada transaksi sebanyak RM7,000 melalui kad kredit HSBC miliknya bagi urusan pembelian di Shopee," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.

Aibee berkata, suspek melakukan beberapa transaksi pembelian di Shopee menggunakan kad kredit milik mangsa sehingga mencapai RM70,000 bagi akaun HSBC dan RM34,000 menerusi akaun Standard Chartered.

Menurutnya, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila dia gagal menghubungi suspek pada 10.36 pagi hari ini, dan susulan itu mangsa terus menghubungi pihak bank sebelum membuat laporan di Balai Polis Rahang.

Katanya, pihak bank memaklumkan kesemua transaksi masih 'terapung' dan tidak dapat mengeluarkan penyata bagi transaksi berkenaan.

"Kesemua transaksi bagi urusan Shopee dan jumlah kerugian sebenar tidak dapat dipastikan kerana kesemua transaksi masih 'terapung'.

"Terdapat transaksi yang tidak berjaya kerana melebihi had transaksi harian mangsa," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu, selain meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan atau mesej yang mencurigakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 11:20 PM