GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang peguam wanita menanggung kerugian RM115,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan sebuah bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa berusia 54 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek, semalam.

"Suspek memaklumkan kepada wanita itu bahawa terdapat satu kad kredit didaftarkan atas namanya dan dikesan melakukan transaksi mencurigakan.

"Mangsa memberitahu tidak pernah mempunyai sebarang kad kredit dengan bank terbabit sebelum disambungkan kepada seorang wanita yang menyamar sebagai kakitangan Bank Negara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Aibee berkata, kakitangan bank itu kononnya dapat membantu mangsa menyelesaikan masalah itu dan mangsa disarankan menghubungi seorang pegawai Bank Negara bernama Jeffrey melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-31828952.

Beliau berkata, melalui panggilan telefon, mangsa memberikan maklumat tiga akaun bank miliknya kepada suspek termasuk nombor 'user ID' perbankan dalam talian, nombor pin dan nombor kad bank.

"Mangsa turut memberikan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterima, namun sedar ditipu apabila terdapat penukaran maklumat 'online banking' miliknya.

"Selain itu, berlaku beberapa transaksi dari ketiga-tiga akaun miliknya yang keseluruhan berjumlah RM115,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 6:18 PM