GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seorang suri rumah kerugian RM1.03 juta selepas terpedaya helah sindiket Macau Scam yang mendakwa terbabit dalam pengubahan wang haram.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mangsa berusia 69 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan dirinya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pada awal September lalu.

Katanya, panggilan yang dibuat kemudiannya disambung kepada Mr Yong yang menyamar sebagai pegawai polis.

"Mangsa berasa takut dan mengikut arahan suspek untuk membuka akaun HSBC atas nama mangsa dan memberikan nombor siri kad juruwang automatik (ATM) dan nombor pin akaun HSBC kepada suspek.

"Antara 3 hingga 17 September lalu, mangsa membuat pemindahan wang dari akaun OCBC, RHB, CIMB, AmBank dan Public Bank ke akaun HSBC dengan jumlah keseluruhan RM 1.03 juta.

"Mangsa juga menyerahkan semua nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterima kepada suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semalam mangsa membuat semakan baki akaun HSBC dan mendapati baki wang di dalam akaun berkurangan sebelum menyedari ditipu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda.

"Polis Johor menyeru dan menasihati orang ramai supaya lebih peka dengan trend jenayah semasa terutama membabitkan transaksi belian atas talian, pelaburan dan perkenalan atas talian.

"Gunakan aplikasi semakan atas talian yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa seperti semak mule sebelum melakukan sesuatu transaksi kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 5:04 PM