GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang pekerja swasta terpaksa berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM209,996.25 lesap selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, semuanya bermula selepas wanita berusia 48 tahun itu dihubungi seorang individu kononnya dari sebuah bank memaklumkan mangsa mempunyai hutang kad kredit dan perlu menjelaskannya segera.

"Bagaimanapun, mangsa menafikan, namun panggilan kononnya disambung ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat laporan mengenai kad kreditnya.

"Selepas laporan dibuat, talian mangsa disambungkan pula kepada seorang anggota kononnya dari Jabatan Siasatan Jenayah yang kemudian meminta nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya," katanya di sini, hari ini.

Aibee berkata, mangsa turut diminta oleh lelaki berkenaan menghantar menerusi 17 nombor pas pengesahan transaksi atau kata laluan satu kali (OTP) yang diterima melalui mesej di telefonnya.

Menurutnya, mangsa yang bimbang dengan status kad kreditnya itu mengikuti semua arahan daripada lelaki terbabit.

"Bagaimanapun, selepas panggilan ditamatkan, mangsa membuat semakan dan mendapati wang di dalam dua akaunnya berjumlah RM209,996.25 hilang.

"Susulan itu, dia membuat laporan polis semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 3:45 PM