FACEBOOK
FACEBOOK
BERNAMA

Melaka: Seorang ibu tunggal mengalami kerugian RM78,214 selepas terpedaya dengan janji seorang lelaki dikenalinya menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa berusia 49 tahun berasal dari Alor Gajah itu, berkenalan dengan seorang lelaki pada 28 Mei lalu.

Katanya, sebagai tanda perkenalan suspek menyatakan hasratnya mahu menghantar bungkusan barang kemas dan pada hari sama wanita itu menerima panggilan telefon dari individu mendakwa dari sebuah syarikat.

"Suspek menyatakan bungkusan dari kenalannya itu telah sampai dan mangsa diminta membuat bayaran bagi menuntut bungkusan tersebut.

"Mangsa tanpa berasa curiga telah membuat bayaran secara berperingkat pada 28 Mei hingga 8 Jun berjumlah RM78,214 ke dalam tiga akaun bank berbeza, atas pelbagai alasan seperti bayaran cukai kastam," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Bagaimanapun suspek masih meminta wang daripada mangsa, walaupun selepas pembayaran dibuat dan wanita itu tidak lagi mengikut arahan, kerana menyedari dirinya ditipu untuk mendapatkan bungkusan tidak wujud.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah pada 9 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 3:08 PM