GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nuraliawati Sabri


Melaka: Guru agama kerugian lebih RM78,000 selepas diperdaya lelaki yang baru dikenali melalui Facebook akhir bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa berusia 49 tahun terpedaya selepas dijanjikan suspek untuk memberinya hadiah perkenalan.

Beliau berkata, mangsa yang juga ibu tunggal berkenalan dengan lelaki itu 28 Mei lalu, sebelum suspek memaklumkan ingin menghantar bungkusan hadiah seperti barang kemas kepada mangsa.

"Pada hari sama, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dari sebuah syarikat kurier dan mengatakan bungkusan yang dikirim sudah sampai," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa diminta membuat beberapa bayaran bagi menuntut bungkusan itu antaranya cukai kastam.

"Mangsa kemudian membuat pembayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM78,214 dalam tempoh 12 hari sehingga 8 Jun.

"Kesemua transaksi itu dibuat ke atas tiga akaun bank berbeza dengan menggunakan wang simpanannya," katanya.

Sundra berkata, walaupun sudah membuat pembayaran suspek dikatakan masih meminta wang daripada mangsa sebelum menyedari sudah ditipu.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah, semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 4:38 PM