ABDUL Rahman (tengah) diiringi Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid (kanan) menerima borang pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Berua, Alias Pelong, 56, (kiri) ketika turun padang menyerahkan bantuan makanan di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua.

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Prihatin dengan nasib masyarakat Orang Asli yang terjejas susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebanyak 136 bakul makanan disampaikan kepada masyarakat berkenaan di Kampung Orang Asli Sungai Berua di sini, semalam.

Bakul makanan berisi barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung dan bihun itu disampaikan sendiri Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandarm, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad kepada 136 ketua isi rumah (KIR).

Abdul Rahman berkata, program bantuan bakul makanan itu dilaksanakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan peruntukan RM12 juta.

Katanya, ia memberi manfaat kepada seramai 62,269 KIR masyarakat Asli di seluruh negara yang terjejas sumber pendapatan apabila pelaksanaan SPP dilaksanakan pihak kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

"Bantuan kepada semua KIR itu dihantar secara berperingkat bermula 5 Jun lalu dan kita jangka penyerahan bantuan ini akan diselesaikan pada 14 Jun ini," katanya.

Abdul Rahman berkata, kementerian melalui Jakoa turut melaksanakan projek ekonomi di Kampung Orang Asli Sungai Berua melalui Projek Tanaman Kelapa Sawit seluas 59.73 hektar yang diuruskan Felcra membabitkan 60 peserta.

MASYARAKAT Orang Asli suku Semaq Beri membawa pulang bantuan bakul makanan yang diperoleh daripada Kementerian Luar Bandar dan  Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
MASYARAKAT Orang Asli suku Semaq Beri membawa pulang bantuan bakul makanan yang diperoleh daripada Kementerian Luar Bandar dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Katanya, ia sebagai usaha kementerian untuk membantu menambah sumber pendapatan setiap peserta.

Tok Batin Kampung Sungai Berua, Rosli Desoh berkata, pihaknya berterima kasih atas sumbangan diberikan kepada masyarakat di perkampungan berkenaan.

"Majoriti penduduk mencari rezeki dengan mencari hasil hutan sebelum dijual di kawasan bandar tetapi Covid-19 ini membataskan pergerakan kami.

"Jadi sedikit sebanyak ia memang menjejaskan pendapatan kami terutama mereka yang mempunyai anak yang ramai," katanya.

Bagi Ibrahim Awang, 75, virus Covid-19 menyebabkan penduduk di sini tidak berani keluar ke bandar.

"Biasanya, kami beli barang di Bandar Kuala Berang tetapi sebab Covid-19, kami tak berani keluar kerana takut dijangkiti.

PENDUDUK Orang Asli suku Semaq Beri menyusun bantuan makanan untuk diagihkan kepada masyarakat kampung di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua.
PENDUDUK Orang Asli suku Semaq Beri menyusun bantuan makanan untuk diagihkan kepada masyarakat kampung di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua.

"Jadi apabila ada bantuan sebegini memang ia sangat membantu dan terima kasih kepada kerajaan kerana tidak melupakan kami di sini," katanya.

Pada penyerahan itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menyeru masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan supaya mendaftar temu janji pengambilan suntikan vaksin Covid-19.

Bagi Ishak Namat, 58, dia sudah mendaftar sebagai penerima vaksin sebagai perlindungan kepada diri dan keluarganya.

"Kita tahu usaha kerajaan suruh suntik vaksin ini untuk kebaikan tetapi ada ramai yang takut sebab kami dengar pelbagai cerita yang negatif.

"Walaupun kami tidak keluar ke mana-mana tetapi vaksin ini sebagai perlindungan apabila kita berada di tempat awam atau menerima kehadiran orang luar.

"Sebab itu saya sudah daftar dan kini menunggu giliran sahaja," katanya.

ROSLI
ROSLI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 7:36 AM