Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi,(dua dari kanan) bertemu mata dengan peniaga di Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, hari ini. FOTO IHSAN Jabatan Pertanian Negeri Kelantan
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi,(dua dari kanan) bertemu mata dengan peniaga di Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, hari ini. FOTO IHSAN Jabatan Pertanian Negeri Kelantan
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Seramai 1,598 usahawan aktif berniaga di Pasar Segar Terkawal (PST) seluruh negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang dilaksanakan ketika ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, jumlah berkenaan membabitkan 42 PST seperti Pasar Tani Kekal, Agrobazar, MyFarm Outlet dan Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang terpilih.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa diamalkan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 dan ia diperketatkan apabila SPP dilaksanakan sejak empat hari lalu.

"Kewujudan PST ini sebagai bukti kerajaan sentiasa berusaha memastikan proses rantaian makanan boleh beroperasi dengan sebaiknya dan apa yang dibanggakan golongan usahawan masih memasarkan produk walaupun berhadapan dengan situasi sekarang.

"Dalam masa sama, kita harus peka dengan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya sentiasa menjaga SOP memandangkan keadaan wabak Covid-19 yang semakin meruncing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setiap PST ditempatkan pegawai dan petugas yang mengawal selia kawasan supaya aspek penjagaan SOP diberikan perhatian khusus supaya ia dapat membantu mendisiplinkan peniaga dan pembeli.

Beliau turut turun padang melawat PST Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini, hari ini.

Che Abdullah, turut menyeru orang ramai untuk mendaftar dan mengambil vaksin susulan bilangan yang tidak mahu mengambil vaksin di Kelantan masih berada di tahap yang membimbangkan.

"Rakyat Kelantan boleh membezakan baik dan buruk maklumat yang disebarkan dan tidak akan mudah terpedaya dengan pandangan negatif sesetengah pihak mengenai keburukan menerima vaksin.

"Semoga lebih ramai yang peka akan kebaikan vaksin supaya kita sama-sama dapat memutuskan rantaian wabak Covid-19 dalam negara," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 5:35 PM