GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Peralihan Kelantan kepada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan mencapai nilai ambang ditetapkan Kerajaan Persekutuan termasuk bilangan kes harian Covid-19 yang berkurangan sejak dua minggu ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Jefny Muhammad berkata, pengurangan kes Covid-19 termasuk angka di bawah 100 disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dan sekatan pergerakan penuh (SPP).

Katanya, ia menunjukkan kejayaan PKP 3.0 di negeri ini, namun masyarakat perlu sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) berikutan jangkitan sudah ada dalam komuniti.

"Selain itu, peralihan kepada fasa kedua juga disebabkan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 yang turun dan berada di bawah paras 40 peratus.

"Peralihan fasa kedua ini membolehkan beberapa sektor dibuka termasuk kedai buku dan alat tulis yang diperlukan untuk pelajar bagi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Bagi peniaga pasar tani dan pasar pagi, keputusan ini yang ditunggu-tunggu mereka apabila boleh menjalankan perniagaan selepas ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan kepada semua supaya patuh kepada SOP bagi menurunkan kes Covid-19, seterusnya membolehkan Kelantan pergi ke fasa seterusnya atau fasa ketiga.

Katanya, jika masyarakat tidak patuh SOP kemungkinan kes Covid-19 akan naik dan Kelantan akan kembali kepada fasa pertama.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bersama Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pahang, Kelantan, Terengganu Perak dan Pahang setakat semalam memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua PPN.

Kelima-lima negeri berkenaan mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus dan kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) bagi rawatan kepada pesakit Covid-19 di negeri terbabit turut merekodkan penyusutan daripada paras kritikal ke peringkat sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 7:50 PM