Penerbangan ihsan Unit Udara JBPM mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang membawa dua pesakit Orang Asli ke hospital. FOTO RAMLI IBRAHIM
Penerbangan ihsan Unit Udara JBPM mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang membawa dua pesakit Orang Asli ke hospital. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: "Mujur dapat khidmat penerbangan ihsan hantar anak saya demam campak ke hospital," kata Liza Pandak, 38, dari Pos Gob, dekat sini.

Katanya, bayi perempuannya berusia sembilan bulan, Konedwod Disman, demam campak sejak tiga hari lalu dan beberapa kali cuba menghantarnya ke Hospital Gua Musang (HGM) melalui jalan balak, namun gagal kerana jalan rosak teruk.

Menurutnya, dia terpaksa menghubungi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebelum mendapat khidmat helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Demam campak anak semakin kritikal awal pagi ini hingga menggigil dan beberapa kali kejang otot. Mujur dia dapat dibawa ke hospital dengan helikopter hari ini," katanya ketika ditemui di sini.

Penerbangan ihsan itu juga turut membawa bersama seorang wanita Orang Asli, Zaidah Punai, 29, yang sarat mengandung.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan itu berlepas dari Subang jam 1.45 petang.

Beliau berkata, penerbangan yang menggunakan helikopter Agusta Westland 189 selamat mendarat di Pos Gob jam 3 petang.

Katanya, sebelum itu pihaknya menerima permohonan penerbangan ihsan daripada Jakoa pada jam 9 pagi bagi menyelamat dua pesakit terbabit.

"Kita mengambil tindakan segera untuk mengadakan penerbangan itu kerana seorang bayi demam campak memerlukan rawatan kecemasan," katanya.

Beliau berkata, penerbangan ihsan itu kemudian mendarat di perkarangan Balai Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang sebelum dua pesakit dikejar ke HGM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 5:22 PM